Tuesday, August 2, 2011

Keterangan Mengenai Fadhilat Tarawikh








 




            Berkenaan hal ini, sebenarnya telah lama timbul hadis-hadis berkenaan fadhilat tarawikh ini dan sememangnya ia sangat tersebar dengan meluas. Ini kerana hasil daripada perkembangan media elektronik termasuklah FB sendiri yang mana setiap orang berusaha menyebarkannya (hadis) dengan harapan mendapat ganjaran atas penyampaian tersebut. 

            Sememangnya niat sebenarnya adalah baik ya’ni bagi menggalakkan orang lain untuk ghairah melakukan amal soleh dibulan ramadhan namun perlu diingatkan supaya kita lebih berhati-hati untuk meneliti hadis-hadis tersebut sebelum menyebarkannya. 

Hal ini kerana takut-takut daripada kata-kata kita itu menjadi ikutan orang lain dan disebarkan tetapi langsung tiada NASnya. 

            Dalam hal ini, bagi pandangan ana yang lemah, pekara ini sememangnya menjadi satu jalan yang selalu digunakan oleh golongan ANTI-HADIS. Mungkin terdapat hadis-hadis maudhu’ yang direka oleh mereka sendiri namun begitu akan ada orang yang berfikir mana mungkin golongan yang menolak hadis mencipta hadis?

            Jawapan ana adalah mereka mencipta hadis tersebut, kemudian apabila sudah tersebar luas, maka mereka akan menggunakan hadis tersebut balik untuk diusulkan. Dalam keadaan ini, maka mereka akan mencari semula kesalahan dalam hadis-hadis tersebut dan itulah yang akan menjadi hujah mereka kenapa mereka menjadi orang yang ANTI-HADIS. 

Maka dengan  kesalahan mahupun kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam hadis tersebut dijadikan alasan bahawa SEMUA hadis tidak boleh diguna pakai dalam pengambilan hukum.

            Yang perlu kita fahami, hadis yang boleh digunakan sebagai penentu hukum (hujah) adalah yang bertaraf HASAN dan SAHIH sahaja. Manakala DHAIF pula boleh digunakan dalam hal-hal berkenaan  fadhilat. Tetapi jikalau MAUDHU’, maka ia tertolak terus.


Kembali semula tentang hadis berkenaan tarawikh tersebut. Hadis ini kononnya diriwayatkan oleh Saidina Ali r.a yang mafhumnya adalah seperti berikut:

Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s. a. w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:

Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan
(mendapat keampunan dari Allah Taala).
Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur
(sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.
Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A. S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.
Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A. S.
Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S. A. W..
Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh


Hadis ini apabila diteliti adalah merupakan hadis yang baru sahaja diadakan. Hal ini berdasarkan atas beberpa sebab.
 1.Hadis ini telahpun diajukan kepada tokoh-tokoh agama di Malaysia tentang kedudukkannya, asal usulnya, namun semuanya tidak dapat diberi penjelasan.

2.Tiada dalam kitab induk hadis (Sunan Sittah dll)
3.Tiada juga di dalam kitab hadis palsu (maudhu’aat)

3 pekara ini menunjukkan bahawa ia baru sahaja diadakan kerana  ulama’-ulama’ yang terdahulu yang menulis tentang hadis maudhu’ pun tiada menjelaskan hadis ini.

Rasulullah S. A. W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya 

“Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka.”
(Bukhari, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S. A. W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S. A. W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. 

Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. 


Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. 

Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S. A. W. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. 

Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam seterusnya dia berkata:

 Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. 

Fiman Allah bermaksud:

 Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan.
(An-Najm: 3-4).

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud:
Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu.
(Al-Bukhari)


Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. 

Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah:

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S. A. W. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis sahih.

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s. a. w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis sahih.

4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang sahih. Yang lainnya adalah palsu.



Justeru, kita sebagai umat Islam yang berada di dalam zaman yang penuh kebatilan ini perlulah berwaspada atas setiap perkara dan mohonlah kepada Allah SWT moga-moga tapak-tapak kaki kita ini sentiasa berada di jalan yang lurus ya’ni menujuNya.

Segala yang baik itu adalah datang daripada Allah SWT dan ana yang lemah ini penuh dengan salah dan silapnya. Mohon maaf dan teguran jika antum menemui kesalahan didalamnya.

Rujukan: Darul Quran wa Sunnah.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Total Pageviews

Akhir Kalam...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites