Sunday, August 1, 2010

AKU BAGAIKAN KELAWAR DISINAR RAHMAT-MU.







" Hisablah dirimu sebelum dihisab". "Kecamlah dirimu sebelum dirimu
sendiri dikecam Allah".
" Anggaplah dirimu sebagai orang yang paling berdosa". " Kalau
ditakdirkan semua manusia masuk kedalam syurga kecuali seorang….aku 
rasa
akulah yang seorang itu."


Demikian titipan mutiara kata orang yang hampir dengan Tuhan. Pegangan
diri para Rasul, Nabi dan Wali.
Kerana keyakinan itu lahirlah manusia seperti Abu Bakar - yang 
merasakan
dirinya lebih hina daripada sehelai rumput; Umar - yang merasakan nasib
seekor anjing lebih bernasib baik daripada dirinya; Abu Huzaifah- yang
sentiasa curiga dengan iman dan islamnya; Salman al-farisi- yang
merasakan maut sentiasa memburunya.


Kini kuasah rasa itu yang datang cuma sekali-sekala. Rasa yang bukan
selalu bertandang di dalam hati. Bukan mudah menghinakan diri di depan
Allah. Amat payah menekan ego dan bangga ke paras bawah. Jarang diri
mahu luahkan kata-kata pahit yang terlalu sakit untuk didengar.


Kini ku adukan, megapa sangat memberat langkah ini menuju Allah ?
Mengapa diri seperti ditolak ke belakang dalam perlumbaan menuju 
khairat
( kebaikan ) dan maghfirah ( pengampunan )? Mengapa hati terhijab lagi
dari taufik dan pimpinan ? Mengapa hati masih tertipu oleh bujukan
nafsu, terpesona dengan nikmat dunia ? mengapa fikiran seakan 
tersumbat,
jiwa lesu dan jasad memberat di jalan jihad ?


Ya Allah, masih adakah lagi petunjukMu buat insan yang derhaka 
sepertiku
? Kulakukan dosa dalam sedar dan yakin KAU Maha Melihat. Aku lawan
kehendakMu terang-terangan. Ya Allah, alangkah besarnya kederhakaanku
kepadaMu. Ya Allah jauhkan aku dari kekufuran dan nifaq seperti jauhnya
Timur dan Barat….




Oh, aku tersepit, terhimpit diruang sempit. Di antara dua rasa yang
tidak menentu. Buat baik kurasa derita, buat jahat terasa siksa. Kucuba
membenci dunia tetapi kecintaan akhirat belum terasa. Mujahadaku
memberat, sarat dengan pelbagai rintangan. Ammarah dan lawwamah silih
berganti membunuh kecintaan Ilahi yang datang sekali-sekala. Mungkar 
dan
maksiat menenggelamkan secebis nikmat yang pernah dikecap dari munajat
dan doa.


Inilah rintihan, oleh hati yang kian tertekan. Dari diri yang amat
resah, amat gelisah. Jiwa disayat dek sembilu tajam. Terbenam di dalam
luka yang paling dalam. Membuak darah, membengkak nanah yang parah.
Bisanya sampai ke hulu hati. Membakar jiwa yang gersang daripada semua
ketenangan dan ketenteraman. Dunia dipandang gelap. Walau mentari, 
bulan
dan bintang masih menebar sinar..tetapi matahati sudah nanar. Jiwa kian
buta. Kian goyah taufik dan hidayah….


Oh..mengapa sehitam itu lorong hidupku.
Ku cari punca masalah hingga tafakurku terganggu jemu. Apakah ini
pencarian sesat memberat penat ? Apakah ini resah rasa yang makin
menanah mendenyut bisa ? Telahku tinggalkan permulaan jalan, telah 
habis
dayaku melangkah tetapi hujungnya masih jauh. Aku sesat dalam rimba
keliru beribu liku. Apakah aku yang berjalan atau jalan yang berjalan ?
Aku sangsi. Aku mahu lari ke hujung dunia. Mahu ku lontar jauh-jauh 
pilu
dan duka ini. Mahu ku bnating masalah yang memeningkan ini. Biar duka
yang membengkak ini pecah…Biar memancut bisanya yang bergaul pedih. Aku
tidak peduli.


Kadang aku termenung meminta jawapan hati kepada semua ini. Di mana
puncanya? Di mana tapak mula semua keserabutan ini. Aku mengadu kepada
Allah. Dia menjawab melalui sabda Rasul-Nya:


" Sesungguhnya yang dikatakan dosa itu ialah sesuatu yang mendatangkan
keresahan hati"


Tetapi pelik aku mungkiri janji itu. Aku langgar lagi pantang 
larangNya.
Kutempuh lagi jalan dosa. Aku tidak punya kekuatan untuk bertindak. Aku
terbelenggu oleh nafsuku. Dan ketika itu datangkan firman Allah ini
mengingatkan :
" Apakah tidak kamu lihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai
Tuhan"


Ku baca berkali-kali firmanMu itu. Aku bertuhankan nafsuku ? Bunyinya
amat pedih dan pahit. Mungkin inilah yang pernah dikatakan oleh Ibrahim
Adham: " Aku telah bunuh tuhanku".


Ya Allah aku sakit…sembuhkanlah. Ya Allah aku lalai..ingatkanlah aku. 
Ya
Allah aku liar…jinakkanlah aku. Aku tempang, aku capik…bimbing dan
pimpinlah aku. Sesungguhnya aku bagaikan kelawar buta yang disimbah
sinarMu yang melimpah.


Namun ya Allah..aku belum berputus asa. Rasa berdosa inipun sudah
sebesar rahmat. Hati yang masih boleh merintih petanda ia masih
bernyawa. Masih berdenyut nadi kebenaran walaupun getarannya terlalu
lemah. Masih ada titik kecil dalam jiwaku buat menampung peringatan
dariMu. Aku sykur wahai Tuhan…kerana aku sedar selama ini aku tidak
bersyukur.


Kini ku atur pelayaran baru…dengan kolekku bertampung seribu. Dayungnya
pernah patah. Layarnya koyak rabak…dilaut luas ombak mengganas, badai
bertiup buas. Namun aku akan terus berkayuh. Aku yakin KAU tidak jemu
padaku selagi aku tidak berputus asa dengan-Mu. Dengannya akan kuburu
taubat yang belum terlambat. Aku tidak akan mengah dan lelah lagi.
Kerana bekalku kini harapan, bernafas dengan janjiMU tentang 
pengampunan
!!.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails

Total Pageviews

Akhir Kalam...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites